SEJARAH SEPANG

Daerah Sepang adalah daerah bongsu bagi Negeri Selangor Darul Ehsan. Ia terletak di bahagian selatan Negeri Selangor Darul Ehsan, bersempadan dengan Daerah Hulu Langat, Daerah Kuala Langat dan Daerah Petaling. Daerah Sepang juga bersempadan dengan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.

 Jika dilihat dari pandangan atas, Daerah Sepang adalah berbentuk hulu sebatang keris, memanjang ke arah selatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sempadan sebelah timur sehingga ke kampung Sg. Buah/Bukit Unggul.

Di sebelah baratnya pula, adalah Daerah Kuala Langat, sementara Daerah Petaling menjadi jiran di sebelah utara. Di sebelah selatan pula, Daerah Sepang terbuka menghadap Selat Melaka.Mengikut sejarah awal, nama Daerah Sepang diambil bersempena dengan nama pokok yang banyak tumbuh di daerah ini, iaitu pokok Sepang. Pada awalnya, daerah ini merupakan kawasan-kawasan daerah kecil Kuala Langat (Mukim Sepang dan Mukim Labu) dan Hulu Langat (Mukim Dengkil). Kawasan-kawasan ini kemudian digabungkan menjadi satu daerah baru. Daerah Sepang mencapai taraf Daerah sepenuhnya pada 1 Januari 1975.

Semasa awal penubuhannya, Pusat Pentadbiran Daerah Sepang terletak di Pekan Sepang. Apabila Kerajaan Persekutuan telah memilih Daerah Sepang untuk menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Daerah Sepang telah dipindahkan ke Bandar Baru Salak Tinggi yang juga dikenali sebagai Bandar Lapangan Terbang (Airport City). Pada 15 April 2008, Majlis Perbandaran Sepang telah berpindah ke lokasi baru iaitu Cyberjaya.