mail   Emel       Cetak

Info Komuniti

Tips Pencegahan Jenayah


Ragut & Seluk Saku

  • Tempat di mana sering berlaku
    • Kejadian kerap berlaku di tepi jalan dan di lorong sunyi
    • Biasanya peragut berjalan kaki dan bermotosikal
    • Penyeluk saku sering bertindak di tempat yang sibuk
  • Bagaimana boleh berlaku?
    • Menyimpan wang atau dompet di saku yang terbuka.
    • Memakai barang kemas dengan ketara dan mendedahkan untuk tontonan.
    • Berebut-rebut menaiki kenderaan awam atau berada di tempat sesak.
    • Membawa beg tangan dengan cara yang mudah diragut.
    • Meletakkan beg tangan di tempat duduk semasa memandu kereta (passenger seat)
    • Sibuk menjawab panggilan telefon /sms sehingga lupa keadaan sekitar.
  • Cara Pencegahan
    • Bawa wang sekadar mencukupi untuk membeli-belah. Simpan wang dengan baik bagi mengelakkan penyeluk saku mengintai peluang.
    • Bagi wanita, beg tangan seelok-eloknya dibimbit untuk mengelakkan diragut oleh peragut bermotosikal.
    • Bagi lelaki, dompet elok disimpan di dalam kocek berbutang.
    • Jangan biarkan beg tangan diletak ditempat yang mudah dicapai oleh orang lain ketika membeli- belah atau ketika memandu (Passenger Seat).
    • Pastikan anda mengepit/membimbit tas tangan dengan kemas ketika berjalan di tempat yang sibuk/sesak.
    • Jangan memakai barang kemas yang terlalu banyak ketika berada di tampat awam.
    • Elakkan dari berjalan di tempat yang sibuk dan berebut-rebut.
    • Jangan mudah lalai oleh kekecohan yang dilakukan oleh orang yang tidak kenali dan tawaran untuk menolong membersihkan baju anda.
    • Elakkan daripada tertidur semasa menaiki kenderaan awam atau meninggalkan barang kepunyaan anda tanpa dijaga.
    • Jangan tertipu oleh orang yang tidak dikenali dan cuba berbuat baik dengan anda tanpa sebarang sebab umpamanya bertanyakan alamat, nama orang dan sebagainya.
    • Periksa segera dompet atau beg tangan anda jika dilanggar atau diasak oleh orang lain.
    • Sentiasa berwaspada dengan persekitaran semasa menunggu di perhentian bas dan menjawab telefon/sms.

 

Kejadian Cabul dan Rogol

 

  • Rogol

 

Sejak kebelakangan ini, jenayah rogol kerap berlaku, melibatkan mangsa pada peringkat umur yang masih terlalu muda untuk mengenal erti hidup. Jenayah ini bertambah ngeri apabila mangsa dibunuh selepas dirogol. Bagi yang masih hidup, mangsa akan membayangkan kehidupan masa depan yang gelap, dipenuhi kekeliruan emosi, fobia dan syak wasangka. Bagi menghindari rogol, sedikit tips pencegahan digariskan agar kaum wanita boleh berwaspada sentiasa

  • Bagaimana mengelakkannya?
    • Perogol biasanya menyerang mangsa yang berseorangan di tempat sunyi
    • Menerima pelawaan perogol untuk bersiar-siar, bermalam di hotel atau rumah dan sebagainya.
    • Makanan atau minuman yang mengkhayalkan atau tidak sedarkan diri.
    • Mempercayai bomoh yang berjanji menyembuhkan penyakit dengan hubungan seks.
  • Bagaimana boleh berlaku?
    • Pastikan tiada orang lain di dalam kereta ketika anda hendak memandu sendirian.
    • Sentiasa berwaspada ketika menuju ke kereta di lapangan letak kereta yang terbuka.
    • Ketika hendak menggunakan pengangkutan awam, pastikan ada penumpang wanita lain bersama.
    • Berwaspada apabila melihat orang yang mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam (tandas, stesen bas dan sebagainya).
    • Pastikan anda berteman ketika memasuki lif di tempat-tempat yang sunyi dan terpencil.
  • Apakah langkah-langkah pencegahan dari menjadi mangsa rogol?
    • Sentiasa gunakan jalan yang dilalui oleh orang ramai, jangan mengikut jalan yang dekat tetapi gelap dan sunyi.
    • Cuba berada di tempat yang sibuk dengan orang ramai.
    • Berpakaian dengan sempurna kerana pakaian yang menjolok mata atau memberahikan menarik perhatian perogol.
    • Jangan mudah terpengaruh untuk bersiar-siar, makan/minum, menonton wayang atau menghadiri majlis sosial dengan orang yang tidak dikenali/baru dikenali.
    • Jangan layan teguran atau pelawaan untuk minum air semasa berada di dalam bas, teksi atau keretapi
    • Elakkan balik rumah larut malam dan berseorangan.
    • Jika ketinggalan bas, teksi atau keretapi, jangan tumpang kenderaan lain atau tidur di perhentian bas.
    • Biasakan diri bersiar-siar atau berjoging dalam kumpulan.
    • Ibu bapa atau penjaga janganlah menyuruh anak-anak perempuan pergi ke kedai untuk membeli barang berseorangan.
    • Jerit minta tolong jika anda diganggu oleh lelaki yang tidak dikenali.
    • Gunakan kekerasan seperti meronta, mencakar dengan kuku atau menggigit badan perogol untuk melepaskan diri.
    • Lapor kepada polis dengan segera apabila anda diganggu.
  • Jika Berlaku Ancaman
    • Undang-undang membenarkan hak mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
    • Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.
    • Tidak lakukan sebarang tindakan yang terburu-buru.
    • Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan dan kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
    • Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
    • Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.

Kejadian Pecah Rumah

  • Bagaimana boleh berlaku
    • Dengan pemutar skru atau objek-objek tajam, mengumpil pintu atau tingkap
    • Menggunakan 'jack' untuk membuka jerjak besi tingkap
    • Memotong mangga (ibu kunci) dengan gergaji besi.
    • Memasuki melalui bumbung rumah/siling yang terbuka.
    • Tingkap yang tidak berkunci/terbuka
    • Menggunakan kunci pendua.
  • Sebab-sebab Berlaku Pecah Rumah
    • Tidak memberitahu jiran dan polis apabila meninggalkan rumah kosong
    • Tiada muafakat sesama jiran untuk mengawasi kediaman masing-masing
    • Meletakkan barang yang bernilai di sekitar atau dalam rumah yang dapat dilihat dari luar
    • Menunjukkan tanda rumah tidak dihuni seperti langganan akhbar dan roti yang tidak dihentikan.
    • Kedudukan rumah yang terpencil serta struktur rumah yang memudahkan penjenayah memasukinya.
    • Membiarkan pintu atau tingkap terbuka, terdedah tanpa pengawasan atau ditutup tanpa berkunci.
    • Menggunakan kunci, mangga atau rantai yang mudah diumpil, dipotong atau dibuka dengan kunci tiruan.
    • Keadaan rumah seperti bumbung, tingkap, dinding dan sebagainya yang memudahkan penjenayah memasukinya.
  • Cara Pencegahan
    • Memaklumkan balai polis terdekat tentang alamat rumah, tarikh dan masa anda tidak berada di rumah. Tinggalkan maklumat secukupnya bagi memudahkan pihak jiran atau polis memaklumkan sebarang kejadian kepada anda.
    • Memasang alat-alat keselamatan tambahan pada pintu utama seperti lubang pandangan,mangga dan selak keselamatan.
    • Sentiasa pasangkan lampu bila keluar rumah.
    • Jangan tinggalkan sebarang nota yang boleh membantu pemecah rumah bertindak.
    • Hubungan yang baik dengan jiran dapat membantu keselamatan rumah bila kita tiada.
    • Pastikan pintu, tingkap dan pintu pagar berkunci sebelum meninggalkan rumah atau tidur.
    • Memelihara anjing boleh membantu mengawal rumah.
    • Pasangkan sistem penggera keselamatan yang baik unutk rumah/bangunan.
    • Kawasan rumah hendaklah sentiasa bersih dan lapang. Semak-samun, rumpun pokok dan belukar boleh menjadi tempat persembunyian pemecah rumah/penjenayah.
    • Sekiranya bercadang untuk bercuti lama, hentikan langganan akhbar atau roti supaya tidak meninggalkan tanda rumah tiada berpenghuni.
  • Nasihat apabila berlaku pecah rumah
    • Segera buat laporan di Balai Polis berhampiran.
    • Jangan menyentuh atau mengubah apa-apa jua barang yang didapati berselerak selepas dimasuki pencuri. Ini bertujuan untuk melindungi bukti di tempat kejadian seperti kesan cap jari atau alat-alat yang ditinggalkan penjenayah.

 

Kejadian Curi Kenderaan

  • Tempat di mana kecurian kerap berlaku
    • Tempat letak kereta awam
    • Kompleks membeli-belah
    • Di hadapan rumah, tepi jalan raya 
    • Tempat letak kereta di hotel-hotel  
  • Faktor berlaku kecurian
    • Tidak dikunci 
    • Tiada kunci tambahan 
    • Meletakkan di tempat yang terpencil atau gelap pada waktu malam 
    • Meninggalkan barang berharga di motosikal  
  • Bagaimana mencegah kecurian kereta
    • Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera keselamatan yang baik 
    • Memasang kunci tambahan untuk stering, gear, roda dan kelac. Pastikan juga kereta sentiasa dikunci  
    • Sentiasa meletak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang berlampu  
    • Pastikan anda berhati-hati supaya kunci kereta tidak ditiru semasa menghantar kenderaan anda untuk diservis  
    • Jangan serahkan kunci kepada 'Jockey' kereta 
    • Adalah lebih baik untuk menukar nombor pendaftaran di cermin kereta ('sandblasting') 
    • Bersiap sedia dengan kunci kereta apabila menuju ke kereta. 
    • Elakkan meletak kenderaan bersebelahan dengan kenderaan yang lebih besar seperti lori atau bas kerana ini memudahkan pencuri mencuri.(terlindung dari pandangan orang)
  • Bagaimana mencegah kecurian motosikal
    • Letak motosikal ditempat yang dikhaskan. 
    • Pastikan anda mengunci motosikal ketika meninggalkannya. 
    • Letakkan di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang/berlampu.  
    • Rantai dan kunci tambahan adalah penting untuk mengelakkan motosikal dari dicuri. 
    • Pasangkan alat penggera kecurian motosikal dan ukirkan nombor pendaftaran motosikal pada bahagian-bahagian yang jelas dilihat.  

 

Kejadian Buli

  • Buli

Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Siapakah yang sering membuli dan dibuli ?

  • Pembuli
    • Terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat, lima dan enam. 
    • Bertubuh besar, tegap dan tinggi. 
    • Melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya. 
    • Membuli satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan di sekolah. 
    • Kejayaan membuli pelajar junior untuk menunjukkan mereka kuat, berkuasa dan tidak mudah digertak.  
  • Dibuli

Pelajar-pelajar yang sering menjadi mangsa ialah pelajar menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga serta pelajar sekolah rendah.

  • Kenapa mereka sering membuli
    • Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar. 
    • Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka. 
    • Mereka pernah menjadi mangsa buli. 
    • Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak hyperaktif atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.  
    • Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah displin. 
    • Akibat masalah keluarga. 
    • Sekadar mahu seronok. 
    • Mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan salah satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan.  
    • Iri hati pada mangsa atas sebab disayangi guru atau cemerlang dalam pelajaran. 
  • Jenis-jenis Buli
    • Buli fizikal
      • Melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan.  
      • Paling ganas boleh menyebabkan kematian.
    • Buli mental
      • Lebih kepada ejek-mengejek. Misalnya, jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar biasa, maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior yang membuli.  
      • Sungguhpun, kes buli jenis ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku di sekolah  
  • Apa yang patut dilakukan sekiranya dibuli?
    • Pihak sekolah perlulah mendapatkan maklumat tentang kes buli yang sering berlaku di sekolah masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta para pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli.  
    • Pihak sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.  
    • Tindakan displin, merotan, dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli. 
    • Perlu wujudkan satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah. Antara ahli yang terlibat terdiri daripada pengetua sekolah, guru kaunseling, guru displin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.  
    • Perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) sekolah.  
    • Oleh itu, guru-guru juga hendaklah membincangkan tentang isu buli dari semasa ke semasa  

Kejadian Gengsterisme

Gangsterism di Sekolah

  • Faktor Pelajar Terjerumus
    • Pengaruh kawan atau rakan yang terlibat dalam kumpulan jahat di sekolah atau di luar sekolah. 
    • Remaja atau pelajar yang kurang keyakinan pada diri sendiri ("low self-esteem"). 
    • Direkrut secara paksa oleh ahli-ahli kongsi gelap. 
    • Mereka yang kurang mendapat perhatian atau kawalan ahli-ahli keluarga.  
  • Langkah Pencegahan
    • Semua pihak memainkan peranan penting untuk membasmi kegiatan "gangsterism" di sekolah:pelajar, ibubapa, pihak sekolah, polis dan semua ahli masyarakat.  
    • Orang ramai bekerjasama dengan memberi maklumat tentang penglibatan pelajar dalam kegiatan yang tidak sihat.  
    • Ibu bapa atau penjaga hendaklah memberitahu pihak sekolah atau polis sekiranya mengesyaki ahli keluarga terlibat dalam "gangsterism" di sekolah.  
    • Menggalakkan mangsa-mangsa tampil ke hadapan membuat pengaduan kepada pihak sekolah seterusnya kepada polis.  
    • Ibu bapa atau penjaga hendaklah memberi sokongan ke atas setiap tindakan pihak sekolah atau polis dalam menangani kegiatan "gangsterism" yang melibatkan ahli keluarga mereka.  
    • Pelajar jangan bergaul dengan bukan pelajar yang karektornya diketahui bersifat penjenayah atau mencurigakan.  
    • Pelajar hendaklah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.  

Kejadian Penderaan

Keganasan Rumahtangga

  • Maksud Keganasan Rumahtangga

Keganasan rumahtangga mengikut tafsiran Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (akta 521) adalah pelakuan mana-mana perbuatan yang berikut :-

  1. Secara bersenjata atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan mangsa itu dalam Keadaan ketakutan kecederaan fizikal;  
  2. Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;  
  3. Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;  
  4. Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau 
  5. Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu oleh seseorang terhadap :-
    • Isteri atau suaminya; 
    • Bekas isteri atau suaminya; 
    • Kanak-Kanak; 
    • Orang dewasa tidak berkeupayaan; atau 
    • Mana-mana anggota lain keluarga  
  • Siapa Yang Terlibat
    • Isteri atau suaminya; 
    • Bekas isteri atau suaminya; 
    • Kanak-Kanak; 
    • Orang dewasa tidak berkeupayaan; atau 
    • Mana-mana anggota lain keluarga  
  • Bagaimana Hendak Membuat Laporan

Sesiapa juga yang mengetahui ada kejadian keganasan rumahtangga berlaku atau sesiapa yang menjadi mangsa boleh membuat laporan di mana-mana balai polis. Laporan polis boleh ditulis sendiri oleh pengadu atau meminta bantuan dari anggota polis yang bertugas di pejabat pertanyaan di balai berkenaan.

  • Hak Mangsa

Mangsa keganasan rumahtangga mendapat perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 mengikut seksyen-seksyen berikut :- Seksyen 4 - Perintah Perlindungan Interim.

  1. Mahkamah boleh, sementara menunggu penyiasatan berhubungan dengan pelakuan suatu kesalahan yang melibatkan keganasan rumahtangga, mengeluarkan perintah perlindungan interim yang menghalang orang yang terhadapnya perintah itu dibuat daripada menggunakan keganasan rumahtangga terhadap isteri atau suami atau bekas isteri atau suaminya atau kanak-kanak atau orang dewasa tak berkeupayaan atau mana-mana anggota lain keluarga, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.  
  2. Sesuatu perintah perlindungan interim hendaklah terhenti berkuatkuasa setelah selesainya penyiasatan.  
  • Rumah Perlindungan

Mangsa-mangsa keganasan rumahtangga boleh mendapatkan perlindungan sementara sama ada disediakan oleh :-

  1. Jabatan Kebajikan Masyarakat
  2. Badan-Badan Bukan Kerajaan

 

  • Lain-Lain Perkara Berkaitan

Mangsa keganasan rumahtangga perlu sedar bahawa mereka yang teraniaya mendapat perlindungan dan pembelaan di bawah undang-undang.

 

Kejadian Penyalahgunaan Dadah

Dadah

  • Penyalahgunaan Dadah Di Malaysia

Masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia telah tiba di tahap serius dan dianggap sebagai ancaman utama negara mengambilalih ancaman komunis yang telah meletak senjata. Di antara faktor-faktor yang meletakkan penyalahgunaan dadah sebagai ancaman utama negara ialah :-

  • Jumlah penagih yang didaftar lebih kurang 200,000 orang; 
  • Jumlah wang yang terlibat untuk pemulihan; 
  • Kos rawatan, perubatan, tenaga kerja yang hilang; 
  • Kesan dan kerugian dari segi ekonomi, sosial dan jenayah.  

Malaysia terlalu dekat dengan Golden Triangle iaitu kawasan terbesar di dunia yang mengeluarkan pelbagai jenis dadah. Pengedaran dadah, jenis candu, heroin dan ganja adalah dari kawasan Golden Triangle masuk ke Malaysia melalui Thailand. Pengaliran dadah sintetik seperti dadah syabu adalah daripada negara Filipina, dan ecstacy dari negara-negara Eropah.

Bermula pada tahun 1997 hingga April 1999, PDRM berhadapan dengan seramai 87,868 orang penagih dadah, terdiri daripada 45,869 penagih baru dan 41,999 penagih tegar. Penyalahgunaan dadah ini juga telah menular ke kawasan FELDA, sektor perkilangan dan para nelayan. Seramai 3,551 orang peneroka, 2,189 pekerja sektor perkilangan dan 2,620 nelayan telah terlibat. Dari sejumlah2,620 nelayan tersebut, seramai 384 dihinggapi HIV dengan 20 kematian.

  • Penguatkuasaan

Dasar penguatkuasaan kita adalah menyekat kemasukan dadah dan mengambil tindakan terhadap pengguna-pengguna dadah. Kita mempunyai peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk tujuan penguatkuasaan.

  • Kesan Buruk Najis Dadah
    • Merosakkan sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang)
    • Mengakibatkan kematian mengejut 
    • Dalam keadaan mabuk atau khayal, penagih tidak dapat mengawal pergerakan badan 
    • Risiko jangkitan AIDS, hepatitis dan kancing gigi apabila menggunakn alat suntikan yang kotor 
    • Kesan kepada wanita mengandung :- keguguran, kelahiran bayi songsang, lahir belum cukup umur, kematian bayi semasa lahir dan melahirkan bayi yang menunjukan gejala tarikan.  
    • Melemah dan merosakkan daya pemikiran, pemahaman, percakapan, pengiraan dan kebolehan menyelesaikan masalah.  
    • Melemahkan aktiviti otak,terutama daya menyelesaikan masalah, budibicara dan penganalisaan.  
  • Peranan Ibubapa Membasmi Dadah
    • Mengamalkan hubungan yang erat dikalangan ahli keluarga 
    • Memberi kasih sayang yang sama rata kepada semua ahli keluarga 
    • Menjadikan diri anda sebagai contoh yang baik. 
    • Meluangkan masa untuk bersama anak-anak dan ahli keluarga. 
    • Sentiasa bersedia berkomunikasi dan mendengar masalah anak-anak. 
    • Peka dan mengambil tahu aktiviti-aktiviti anak dan rakan sebayanya. 
    • Menentukan ahli keluarga memperolehi ubatan-ubatan dari daktor atau ahli farmasi yang bertauliah dengan sukatan-sukatan yang telah ditetapkan.  
    • Peka terhadap kawasan sekitar tempat tinggal yang mungkin dijadikan sarang penagih najis dadah dan melaporkan kepada pihak polis jika terdapat pergerakan yang mencurigakan..  
    • Memberikan sokongan kepada program pemulihan najis dadah yang melibatkan ahli-ahli keluarga.